TUMPAT 22 Nov. _ Polis berjaya menyelesaikan 74 kes samun dengan tertumpasnya Geng Mat Yie selepas empat anggota kumpulan berkenaan berusia 20-an, ditahan dalam empat serbuan berasingan sekitar daerah ini dan Kota Bharu dalam tempoh enam hari bermula 14 November lalu.
Dalam serbuan itu yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Sukeri Hassan, polis turut merampas berpuluh-puluh jenis senjata merbahaya, peralatan pecah rumah, komponen motosikal dan pelbagai jenis barangan curi bernilai RM70,000.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, geng tersebut diketuai oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Mat Yie, 25, dan dibantu oleh adiknya, Mat Yo, 23, dipercayai bergiat aktif sejak 10 bulan lalu di Wakaf Bharu, Palekbang di Tumpat dan sekitar Kota Bharu. - Utusan