Sunday, September 19, 2010

Kerajaan mohon sokongan majikan

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam hari ini meminta para majikan supaya menyokong dasar gaji minimum bagi memastikan pelaksanaannya, kemungkinan pada tahun depan, berjalan lancar.

Beliau berkata, mereka tidak perlu bimbang atau menganggap dasar itu sebagai halangan kepada perniagaan mereka.

“Niat kita bukan untuk membebankan para majikan. Kita hanya akan menetapkan satu tahap minimum dalam soal gaji dan ia terpulang kepada para majikan untuk membayar sebarang jumlah melampaui tahap itu kepada para pekerja mereka,” katanya kepada pemberita di sini.

Semalam, Dr. Subramaniam dipetik sebagai berkata bahawa model gaji minimum itu adalah menyeluruh bagi semua sektor tetapi ia berbeza mengikut wilayah.

Disebalik jaminan kerajaan bahawa dasar gaji minimum tidak akan menjejaskan industri, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) masih tetap dengan pendiriannya bahawa dasar itu akan memberi kesan kepada perniagaan dan pekerja tempatan kerana ia cenderung untuk memberi manfaat kepada pekerja asing yang kurang mahir dan berpendapatan rendah. - Bernama

No comments:

Post a Comment