Wednesday, September 8, 2010

Kementerian Luar tidak tegas dengan Indonesia

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno hari ini meminta Kementerian Luar menyampaikan mesej yang lebih tegas kepada Indonesia agar segala demonstrasi dan tindakan menghina Malaysia dapat dihentikan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, rakyat Malaysia sudah tidak boleh bertolak ansur dengan demonstrasi oleh beberapa kumpulan aktivis Indonesia di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta kerana ia membabitkan maruah rakyat Malaysia.

"Saya sambut baik perjumpaan antara Menteri Luar Malaysia dan Indonesia tetapi bagi saya soal persetujuan antara kedua menteri tidak ada makna sekiranya mereka masih lagi menyerang kedutaan kita di sana.


"Saya khuatir perasaan sebenar rakyat Malaysia yang sabar selama ini gagal disampaikan oleh Kementerian Luar kepada Indonesia kerana kita sudah tidak boleh bertolak-ansur lagi," katanya kepada pemberita pada pelancaran Kempen Kepenggunaan Muda di sini, hari ini.


Beliau mengulas hasil perjumpaan antara Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bersama rakan sejawatannya dari Indonesia, Dr Marty Natalegawa di Kota Kinabalu semalam.


Dalam perjumpaan itu, kedua-dua negara bersetuju untuk mengusahakan satu Prosedur Standard Operasi (SOP) dan peraturan penglibatan (ROE) sebagai garis panduan apabila mengendalikan petugas masing-masing di kawasan persempadanan perairan, agar insiden 13 Ogos lalu tidak berulang.


Malaysia dan Indonesia juga bersetuju untuk membabitkan Badan Koordinasi Keamanan Laut (Bakormla) dari pihak Indonesia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam struktur jawatankuasa Sempadan Am yang sedia ada bagi tujuan ini.


Khairy berkata, Kementerian Luar sepatutnya menyampaikan mesej lebih tegas mengenai perasaan rakyat Malaysia serta bagaimana cara untuk menghentikan demonstrasi itu dan bukannya berkisar pada persetujuan untuk menghadapi masalah akan datang semasa perjumpaan antara kedua negara semalam.


Katanya, beliau memahami bahawa sistem negara itu dengan Malaysia adalah berbeza tetapi mesej tegas perlu disampaikan agar demonstrasi yang berlaku dapat dihentikan bukan sahaja ketika ini malah ia tidak akan berulang pada masa depan.


Mengenai Kempen Pengguna Muda, Khairy berkata, ia bertujuan memberi pendidikan kepada masyarakat khususnya orang muda mengenai hak mereka sebagai pengguna agar tidak mudah terpedaya dengan helah peniaga.


Kempen hasil kerjasama antara Pemuda dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) akan digerakkan hujung tahun ini di mana semua anggota Pemuda boleh digerakkan sebagai jentera dalam mengedarkan maklumat serta risalah mengenai hak pengguna kepada masyarakat.-Bernama

klik sini untuk derma ikhlas tanpa bayaran

No comments:

Post a Comment