Monday, August 30, 2010

8 premis bazar ramadan diarah tutup di Besut


BESUT: Lapan premis makanan di beberapa buah bazar Ramadan di negeri ini diarah tutup ekoran pemeriksaan ke atas sampel makanan yang dijual didapati melanggar peraturan pengendalian dan diragui kebersihannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, tindakan itu hasil pemantauan dan penguatkuasaan di 4,339 premis di negeri itu sejak awal Ramadan.

Katanya, ekoran itu pihaknya turut merampas 519 jenis makanan dengan nilai RM2,232 dan sebanyak 27 amaran dikeluarkan kepada pemilik premis serta pengusaha kerana pelbagai kesalahan.


"Antara pelanggaran peraturan yang dilakukan daripada sampel makanan yang dianalisis ialah melakukan pelanggaran mikrobiologi dan sampel makanan tidak menepati standard petunjuk kebersihan," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Kampung Raja di sini hari ini.


Beliau berkata, terdapat juga sampel makanan yang dikesan tercemar dengan bakteria E.coli (bakteria yang berasal dari najis) dan bakteria Staphylococcus Aureus yang boleh menyebabkan keracunan makanan.-Bernama

No comments:

Post a Comment